KUALA LUMPUR 7 Julai - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM)
menyediakan laman blog dan aplikasi WhatsApp bagi membolehkan orang
ramai menyalurkan maklumat mengenai kegiatan mesin judi haram.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, laman rujukan tempat
maksiat itu diwujudkan sebagai medium bagi membantu pihak berkuasa
mengambil tindakan berdasarkan maklumat yang diberikan oleh masyarakat.
Sehubungan itu, kata beliau, PPIM meminta kerjasama orang ramai
menyalurkan maklumat seperti gambar dan alamat premis yang menjalankan
kegiatan tersebut di kawasan masing-masing bagi membanteras gejala
tersebut.
"Operasi menggempur kegiatan itu dilihat akan lebih berhasil
sekiranya masyarakat berkongsi maklumat lokasi dan pihak berkuasa juga
boleh mengambil maklumat daripada laman tersebut untuk diambil tindakan
segera.
"PPIM akan cuba mengumpul setiap maklumat yang diberikan agar
masyarakat dan pihak berkuasa sama-sama membanteras kegiatan mesin judi
haram," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Akhbar hari ini melaporkan pihak berkuasa agama negeri diingatkan
supaya sentiasa menggempur kegiatan mesin judi haram dan menguatkuasakan
undang-undang di bawah enakmen syariah masing-masing kepada penganut
Islam yang terjebak dengan kegiatan tidak bermoral itu.
Dalam pada itu, Nadzim berkata, setelah wujudnya laman blog itu,
pihaknya berharap dengan adanya maklumat yang disalurkan itu pihak
berkuasa dapat mengambil tindakan dan menangani gejala itu.
"Selepas ini tiada alasan lagi jika mereka tidak mengambil sebarang
tindakan. Maklumat telah diberikan, jadi terpulang kepada mereka samada
mahu bertindak atau tidak.
"Pemberi maklumat juga tidak perlu khuatir kerana butiran peribadi mereka akan dirahsiakan," katanya.
Oleh itu, orang ramai yang ingin menyalurkan maklumat boleh
menghantar gambar dan alamat ke aplikasi WhatsApp di talian 019-9130000
atau menghantar ke emel muslimconsumers@gmail.com serta pihak berkuasa
juga boleh melihat segala maklumat yang diberikan di laman blog
http://lamanmaksiat.blogspot.com
No comments:
Post a Comment