Pages

Monday, July 7, 2014

57,196 KOMPUTER MAKSIAT DIRAMPAS DI SELURUH NEGARA

KUALA LUMPUR -Sebanyak 57,196 komputer yang telah diubah suai menjadi mesin judi telah dirampas dalam 4,281 serbuan di kafe siber di seluruh negara sejak Januari hingga Mei lalu.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian D7 Bukit Aman, Seni­or Asisten Komisioner Roslee Chik berkata, daripada serbuan dijalankan itu, sebanyak 6,944 tangkapan telah dibuat dan 3,569 kertas siasatan telah dibuka.

Beliau berkata, sebanyak 496 kes telah dituduh dan dijatuhkan hukuman mengikut Seksyen 5 (2) Enakmen Hiburan; 346 kes lagi dituduh dan dijatuhkan hukuman mengikut Seksyen 4B Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan 2,163 kes lagi masih dalam siasatan.
Menurut beliau pihaknya juga berjaya merampas RM533,361 yang dipercayai hasil kutipan perjudian haram itu.

“Sebenarnya sejak awal tahun kita telah buat 22,966 serbuan atau 153 serbuan sehari di kafe siber yang me­nyalahgunakan premis perniagaan mereka untuk menjalankan aktiviti perjudian berkomputer. Bagaimanapun hanya 4,281 serbuan yang berjaya menghasilkan tangkapan dan rampasan mesin judi berkomputer.

“Serbuan, rampasan dan tangkapan yang dibuat ini membuktikan pihak polis sama sekali tidak berkompromi de­ngan mana-mana sindiket yang terlibat dalam kegiatan mesin judi haram di negara ini," kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan khas Utusan Malaysia bertajuk Kegiatan mesin judi berleluasa bagai tidak mampu dibanteras, angkara siapa?; yang di­siarkan di muka hadapan Mingguan Malaysia hari ini.
Laporan tersebut turut mendedahkan sebanyak 2.350 buah premis mesin judi haram telah dijalankan di ibu negara.

Dalam pada itu, Roslee mengakui, walaupun banyak serbuan telah dilakukan, masalah mesin judi komputer ini masih berleluasa kerana banyak pemilik kafe siber yang menyalahgunakan premis mereka untuk menjalankan kegiatan perjudian tersebut dan ada yang membuka perniagaan tanpa lesen.
Ujar beliau, pihaknya juga tidak menafikan yang kegiatan mesin judi komputer ini ada kaitan dengan sindiket.
“Mereka ini sangat licik. Bila kita serbu mereka akan tukar skrin komputer daripada mesin judi kepada permainan video biasa dengan hanya menggunakan alat kawalan jauh.

“Bagaimanapun PDRM tidak pernah mengalah dan satu pasukan pemantau khas turut ditubuhkan bagi meningkatkan lagi usaha untuk membanteras kegiatan mesin judi haram ini," kata­nya.
Tegas Roslee lagi, pihaknya juga bertindak lebih agresif dengan melancarkan operasi khas untuk membanteras kegiatan mesin judi berkomputer iaitu Op Dadu Khas sejak 26 April lalu.

No comments:

Post a Comment