Pages

Tuesday, July 8, 2014

SKUAD KHAS BANTERAS JUDI DI MELAKA

MELAKA 24 Jun - Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini sebulat suara meluluskan usul membentuk jawatankuasa bertindak dan skuad khas membanteras aktiviti judi haram yang semakin berleluasa di negeri ini.

Usul dicadangkan Sazali Muhd. Din (BN-Paya Rumput) dan disokong Datuk Ghazale Muhamad (BN-Rim) diluluskan dewan selepas dipersetujui semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Keputusan itu dibuat hasil undian apabila kesemua 26 ADUN termasuk wakil pembangkang mahu kegiatan pusat judi haram tersebut dibendung.

Sazali berkata, aktiviti tidak berfaedah itu semakin serius dan sukar dihentikan, malah tindakan merampas mesin-mesin judi oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) seolah-olah tidak mencukupi.

Justeru, menurutnya, langkah lebih berkesan dan tindakan tegas seperti penubuhan jawatankuasa bertindan dan skuad khas menangani masalah itu dilihat amat perlu bagi memastikan kegiatan tersebut dapat dihapuskan dari peringkat akar umbi.

"Pembentukan jawatankuasa bertindak dan skuad khas yang turut melibatkan pelbagai jabatan serta agensi kerajaan dan swasta ini kelak akan mampu membendung aktiviti tersebut berdasarkan perancangan teliti.
"Penubuhannya juga diharap dapat mendidik masyarakat terutamanya golongan remaja agar dapat menjauhi aktiviti judi haram seterusnya mengurangkan penglibatan mereka dalam kegiatan tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan usul tersebut dalam Sidang Kedua Penggal Kedua DUN Melaka Ke-13 di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Jelas Sazali, semua pihak termasuk agensi kerajaan di peringkat negeri dan Persekutuan, PBT, PDRM, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), media dan lain-lain perlu melancarkan perang terhadap aktiviti judi haram.
"Semua pihak digesa memainkan peranan penting dan tegas seperti menangkap pemilik premis dan pekerja yang menjalankan aktiviti haram tersebut," tegasnya.

Sementara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron yang mengulas usul tersebut memberitahu, kerajaan negeri memandang serius kegiatan judi haram yang mengancam kemakmuran masyarakat.
"Oleh itu, pihak polis diminta agar dapat memberi taklimat khusus berkaitan penguatkuasaan dan hukuman kesalahan tersebut dilaksanakan pihak PBT," katanya.



No comments:

Post a Comment