27/03/2014, pada jam 9 malam, Pengerusi MyWatch, Sri Sanjeevan telah tiba di Melaka bagi memantau jenayah perjudian siber yang tumbuh dengan pesat di sana.
Hasil
pemantauan semalam, sebanyak 10 buah premis judi yang kelihatan. Lokasi
pemantauan adalah di sekitar Pusat Bandar Melaka, Melaka Parade,
Semabok, dan Bandar Hilir. Hakikatnya sudah tentu lebih banyak daripada
ini.
Selepas
memantau, iaitu pada jam 11.30 malam, Sanjeevan telah menghubungi Ketua
Polis Melaka, Datuk Chuah Ghee Lye bagi melaporkan perkara ini. Ketua
Polis Melaka berkata beliau mahu menyemak terlebih dahulu samada ada
atau tidak pegawai yang bertugas pada waktu itu untuk membuat serbuan ke
atas premis perjudian siber tersebut. Sanjeevan telah menghantar segala
maklumat seperti alamat premis dan gambar keadaan di dalam premis
kepada Ketua Polis Melaka.
Selepas
itu, lebih kurang jam 1.30 pagi Sanjeevan telah berpatah kembali ke
lokasi premis perjudian di hadapan Hotel Emperor Melaka, dan Sanjeevan
mendapati premis judi tersebut telah ditutup. Sungguh cepat tauke judi
tersebut mendapat maklumat bahawa serbuan akan dijalankan. Siapa agaknya
yang membocorkan maklumat?
Kemudian
dalam pukul 2.30 pagi, Sanjeevan telah ke Semabok, Melaka dan di satu
bangunan kedai terdapat 2 buah premis judi lagi. Sanjevan masuk ke dalam
dan memantau keadaan di situ. Selepas itu, Sanjeevan telah menghubungi
pula Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd
Rahman namun panggilan tidak dijawab.
Sanjeevan
meneruskan pemantauan dan cuba sekali lagi menghubungi Asisten
Komisioner Salehhudin Abd Rahman pada jam 4.30 pagi. Kali ini panggilan
diangkat namun Asisten Komisioner Salehhudin berkata beliau tidak
mempunyai pegawai yang bertugas pada pagi tersebut untuk melakukan
serbuan. Sanjeevan terus mendesak dan akhirnya Ketua Bahagian Siasatan
Jenayah Daerah Melaka Tengah, DSP Gan Chee Poo bersetuju menghantar anak
buahnya untuk melakukan serbuan ke atas premis judi yang dilaporkan.
Pada
jam 5 pagi, 2 anggota polis akhirnya tiba dan meminta Sanjeevan
menunjukkan mereka lokasi premis judi tersebut. Setibanya di luar premis
judi, sewaktu Sanjeevan dan 2 anggota polis tersebut mahu melangkah
naik ke tangga, polis tersebut membatalkan niat mereka mahu menyerbu
atas alasan mereka bukan pegawai (cuma anggota biasa) dan diperlukan
pegawai untuk melakukan serbuan. Lalu sanjeevan menghubungi IPD Bandar
Hilir dan dimaklumkan ada pegawai yang bernama ASP Wan Fauzi sedang
bertugas pada pagi itu. Namun ASP Wan Fauzi berkata beliau tidak boleh
melakukan serbuan kerana beliau bukan pegawai yang melakukan serbuan.
Sanjeevan membantah dengan berkata, “Takkan jenayah sudah terbukti depan
mata, polis masih tak boleh serbu?” Inspektor tersebut mendiamkan diri
tidak menjawab apa-apa.
Pada
jam 7 pagi barulah pegawai serbuan D7 bernama Inspektor Khairool tiba
di Semabok untuk melakukan serbuan. Daripada 2 premis judi yang
Sanjeevan laporkan cuma 1 sahaja yang diserbu. Namun yang peliknya,
premis berkenaan didakwa atas kesalahan tiada lesen perniagaan dan
bukannya kesalahan berkaitan perjudian seperti Akta Rumah Perjudian
Terbuka 1953, Akta Pertaruhan 1953, Akta Loteri 1952, atau sebagainya.
Kesalahan tiada lesen perniagaan cuma kesalahan kecil dan pemilik premis
hanya perlu membayar denda sahaja untuk melepaskan diri.
Jam 8 pagi barulah Sanjeevan bergerak pulang ke Kuala Lumpur.
Di
sini MyWatch dapati penguatkuasaan pihak berkuasa adalah amat lemah
sekali, dan tidak hairanlah pusat-pusat judi tumbuh merata dengan cepat
bagai cendawan tumbuh selepas hujan.
Mengikut
maklumat yang MyWatch perolehi, perjudian di Melaka dijalankan oleh 2
buah syarikat yang hanya dikenali sebagai “Syarikat 989” dan “Syarikat
KK (Hijau)”. Kedua-duanya dimiliki oleh seorang tauke Cina bergelar
Datuk yang berasal dari Kuala Lumpur. Manakala, individu yang ditugaskan
menjaga Syarikat 989 dikenali sebagai Ah Wat, seorang lelaki Cina.
Syarikat KK (Hijau) pula dijaga oleh seorang lelaki Cina yang bernama
YD. Mereka berdua ini bertindak sebagai “Police Runner (PR)” . PR ini
tugasnya menjamin anak buah yang ditahan polis dan juga berhubung dengan
pihak polis sekiranya ada maklumat yang mahu dibocorkan oleh polis
seperti serbuan ke atas pusat-pusat judi bawah jagaan mereka.
No comments:
Post a Comment