Pages

Monday, July 7, 2014

BANTAH PEMBINAAN PUSAT LUMBA KUDA DI BUKIT TAGAR

KUALA LUMPUR 3 Julai- Empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis bagi membantah sekeras-kerasnya pembinaan pusat lumba kuda terbesar di Asia iaitu Selangor Turf Club di Bukit Tagar, Hulu Selangor yang didakwa boleh menjejaskan imej Malaysia sebagai negara Islam.

Kesemua NGO tersebut terdiri daripada Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibah Malaysia (MJMM), Gerak Kerja Gabungan Ayahanda Selangor (Gegas), Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIM) dan Lembaga Pembangunan Pengguna Malaysia (LPPM).
Presiden MJMM, Abdul Rani Kulup Abdullah berkata, masyarakat Islam negara ini perlu bersama-sama membantah projek pusat lumba kuda itu yang menjurus kepada kegiatan judi dan maksiat.
"Apa akan jadi dengan imej negara Islam seperti Malaysia ini jika membenarkan pembinaan gelanggang lumba kuda untuk perjudian.

"Sebelum projek itu dibangunkan kita perlu membantah sekeras-kerasnya supaya pihak kerajaan membuat kajian semula mengenai kesesuaiannya," katanya dalam sidang akhbar selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, di sini hari ini.
Turut hadir sama Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia, Amir Amsaa Alla Pitchay.
Menurut Abdul Rani, kerajaan dan masyarakat perlu sedar kegiatan perjudian boleh mendatangkan lebih banyak keburukan dan mengundang masalah sosial.

Sementara itu, Presiden LPPM, Abdul Aziz Ismail pula berkata, laporan kaji selidik kononnya projek pusat lumba kuda di Bukit Tagar itu mendapat sokongan ramai orang Melayu di Hulu Selangor dikhuatiri bertujuan untuk mengaburi mata umat Islam.
"Mereka yang terlibat dengan projek judi lumba kuda perlu menghormati suasana negara Islam di Malaysia dan kami menggesa agar kerajaan membatalkan projek tersebut," tegasnya.


No comments:

Post a Comment