Pages

Monday, July 7, 2014

JUDI BOLA PERTARUHAN RM7.5 JUTA SEHARI

KUALA LUMPUR -  Polis menumpaskan dua sindiket judi bola sepak Piala Dunia 2014 termasuk satu kumpulan yang mengumpul nilai wang pertaruhan kira-kira RM7.5 juta sehari, dalam serbuan Op Soga di sekitar ibu negara semalam.

Dalam serbuan pertama kira-kira pukul 4.30 petang itu, sepasukan polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman menahan empat individu termasuk seorang wanita berusia 20 hingga 32 tahun di Kompleks Metro Pudu di sini.

Serbuan kedua pula dilakukan di sebuah premis perniagaan eksklusif di Changkat Raja Chulan di sini kira-kira dua jam kemudian dan berjaya merampas 12 buah server yang dipercayai menyimpan data laman web judi.
Server berkenaan disimpan bersama ratusan server perniagaan lain di premis yang dikawal oleh pengawal keselamatan dipercayai bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Bukit Aman, Datuk Mazlan Mansor berkata, penahanan serta rampasan ini merupakan kejayaan terbesar setakat ini dan kumpulan berkenaan dipercayai mempunyai rangkaian di negara-negara Asia Pasifik termasuk Hong Kong.
"Siasatan awal terhadap sindiket pertama mendapati mereka adalah ejen yang mempunyai 1,500 sub-ejen dengan setiap kredit pertaruhan maksimum sebanyak RM5,000 sehari.

"Anggaran pertaruhan sehari ialah RM7.5 juta dan sejak dua minggu lalu mereka telah mengumpul wang pertaruhan kira-kira RM105 juta," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Menurut Mazlan, pihaknya turut merampas tiga komputer riba, masing-masing dua iPad dan broadband serta 20 buku yang mencatatkan rekod pertaruhan judi bola sepak.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6 (3) Akta Pertaruhan 1953 dan Seksyen 6 (1) Akta Pertaruhan 1953 iaitu masing-masing bagi kesalahan penganjur dan pemain judi.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, berdasarkan maklumat daripada kejayaan tersebut, pihaknya percaya sindiket perjudian atas talian di seluruh negara mampu mengumpul kira-kira RM10 juta hingga RM15 juta wang pertaruhan sehari.

Katanya, sepanjang Op Soga dijalankan sejak dua minggu lepas di seluruh negara polis telah melakukan 154 serbuan dengan 194 tangkapan termasuk 4 wanita.
Sementara itu, kejayaan terkini Op Soga itu turut mendapat perhatian Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi Twitter beliau.

"Syabas Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) JSJ Bukit Aman kerana berjaya tumpaskan sindiket judi bola sepak dengan nilai taruhan RM7.5 juta sehari malam tadi di Kuala Lumpur, empat orang ditangkap," katanya menerusi laman sosial itu hari ini.

No comments:

Post a Comment