Pages

Tuesday, July 8, 2014

BATALKAN PEMBANGUNAN PUSAT JUDI BUKIT TAGAR

Desak MB tak lulus pusat lumba kudaAmir Amsaa (tengah) menyampaikan memorandum bantahan kepada Mohd Yasid (dua dari kiri), di Shah Alam, semalam.
Shah Alam: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, didesak tidak meluluskan projek pusat judi lumba kuda yang dirancang dibina di Bukit Tagar, Hulu Selangor. 

Tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Islam Ikatan Rakyat Muslim Malaysia (IRIMM), Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) dan Lembaga Pembangunan Pengguna Malaysia (LPPM) menyerahkan memorandum bantahan berkenaan kepada Menteri Besar Selangor di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini, kira-kira jam 11.30 pagi semalam.


Presiden IRIMM, Amir Amsaa Alla Pitchay, berkata pembinaan pusat judi lumba kuda yang dikatakan terbesar di Asia itu mencalar imej Malaysia sebagai negara Islam. 

Katanya, beliau tidak menafikan ia akan menarik perhatian negara luar terhadap Malaysia, namun, hanya sekadar dilihat sebagai negara pusat perjudian. 


Satu ancaman 

“Setakat ini, kita sudah mempunyai antara tempat pusat perjudian yang terkenal seperti Genting Highlands , Pulau Tioman, dan Bukit Tinggi di Pahang. Jika ditambah lagi, memang tidak dinafikan Malaysia adalah negara yang penuh dengan pusat perjudian. 
“Kami menentang perkara ini kerana ia akan menjadi satu ancaman terhadap pembangunan sahsiah masyarakat Islam dan pembinaan pusat judi berkenaan menunjukkan kerajaan negeri menggalakkan aktiviti perjudian,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum bantahan berkenaan kepada Ketua Setiausaha Sulit Menteri Besar, Mohd Yasid Bidin. 

Presiden Kebangsaan MJMM, Abdul Rani Kulup Abdullah, mempersoalkan pendirian Abdul Khalid selaku Menteri Besar Selangor dan parti sekutunya iaitu PAS dalam isu ini. 

Katanya, dengan membenarkan pembinaan pusat judi berkenaan, ia membuktikan kerajaan yang dipimpin parti PKR dan sekutunya tidak mempertahankan Islam seperti yang dijanjikan. 

“Jika dilihat, Menteri Besar Selangor adalah orang Melayu dan Islam, sama seperti ahli PAS. Mereka selalu mendakwa diri mereka memperjuangkan Islam di negara ini. 

“Tetapi perkara ini (pembinaan pusat judi) bukti kata-kata itu tidak ditunjukkan dan hanya dijadikan sebagai satu janji kepada rakyat,” katanya. 

Pada 1 Julai lalu, BH melaporkan PAS dan beberapa NGO serta masyarakat setempat membantah pembinaan pusat judi lumba kuda terbesar di Asia iaitu Selangor Turf Club di Bukit Tagar. 


Sangkal dakwaan 

Yang Dipertua PAS Hulu Selangor, Muhammad Idris Ahmad yang juga Ketua Urus Setia bantahan itu berkata, pihaknya menyangkal dakwaan pemaju yang mendakwa pembinaan pusat terbabit diterima oleh masyarakat Melayu kawasan itu. 

Semalam, Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad, dalam satu kenyataan, menyatakan sebuah parti Islam, PAS tetap dengan pendirian tidak akan bersetuju terhadap pembinaan pusat judi lumba kuda berkenaan, selain kelulusan projek itu akan memecah-belahkan pakatan pembangkang di Selangor.


No comments:

Post a Comment