Pages

Monday, July 7, 2014

8 LELAKI BERJUDI DI TAMAN CEMPAKA IPOH

IPOH 6 Julai - Polis menahan lapan kaki judi termasuk dua warga emas selepas menyerbu tiga buah premis dalam Op Bersepadu di Taman Cempaka dekat sini semalam.
Dalam operasi yang dijalankan pada pukul 9.30 malam itu, polis turut merampas 63 set komputer dan wang tunai RM260 yang membabitkan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM126,000.
Pegawai Turus Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) negeri, Deputi Supritendan Zailani Mohd. Yussof berkata, serbuan di kafe siber itu dijalankan oleh sepasukan 25 anggota D7 dan 24 anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Katanya, dalam serbuan itu, kesemua lelaki berusia antara 30 hingga 60 tahun ditahan ketika leka bertaruh.
"Siasatan mendapati, premis ini pernah diserbu sebelum ini, namun pemiliknya masih berdegil dan tetap menjalankan kegiatan yang sama.

"Kita juga mendapati, pintu masuk utama premis yang diserbu dilengkapi dengan sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang bertujuan mengesan kehadiran pihak berkuasa,'' katanya di sini hari ini.
Tambahnya, pintu belakang premis berkenaan juga mempunyai sistem kawalan bagi memudahkan mereka melarikan diri.

Katanya, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan.

Sementara itu, Pengarah Perlesenan dan Penguatkuasaan MBI, Zulkifle Jaafar Sidek berkata, ketiga-tiga premis yang diserbu itu didapati tidak mempunyai lesen perniagaan.
"Pihak majlis memandang berat hal ini dan akan terus membanteras kegiatan judi haram agar tidak berleluasa di negeri ini,'' katanya.

No comments:

Post a Comment